Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAEKONOMICadbury perkenal resipi baharu, lebih berkrim dan kaya koko

Cadbury perkenal resipi baharu, lebih berkrim dan kaya koko

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jenama coklat terkemuka dunia, Cadbury, memperkenalkan resipi inovasi terbaharu yang menampilkan rasa lebih berkrim dan diperkayakan dengan kepekatan koko, tanpa mengorbankan keunikan klasik yang menjadi identiti produk itu sejak sekian lama.

Ketua Pemasaran Mondelez International (Malaysia/Singapura), See Mei Sin, berkata usaha memperbaharui resipi Cadbury itu merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir dua tahun bagi memastikan ia menepati citarasa pengguna, terutamanya rakyat Malaysia.

“Jenama kami telah bertapak di Malaysia selama lebih 75 tahun dan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan masyarakat tempatan. Resipi baharu coklat ini telah berada di pasaran sejak April lalu dan ia menerima sambutan yang sangat positif daripada pelanggan,” katanya ketika sesi lawatan media ke ibu pejabat Cadbury di sini, baru-baru ini.

Lawatan berkenaan turut membawa lebih 20 pengamal media meninjau secara dekat proses penghasilan coklat di kilang Cadbury, termasuk pelancaran rasmi varian baharu bersaiz King seberat 200 gram.

Jelas Mei Sin, perubahan pada resipi baharu ini tetap mengekalkan rasa asli Cadbury Dairy Milk, namun telah ditambah baik dengan tekstur lebih halus, rasa berkrim dan profil koko yang lebih menyerlah.

Dalam usaha mendekati pengguna, pihak Cadbury juga akan menjelajah ke seluruh negara bermula 1 Julai hingga 31 Ogos ini menerusi siri jelajah bertemakan komuniti. Program itu akan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif bersama pengguna di setiap negeri.

“Kami komited meneroka lebih banyak inovasi dan resipi baharu bagi memenuhi kehendak pelanggan masa kini yang semakin peka terhadap kualiti dan rasa,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, syarikat menghasilkan sekitar 14,000 tan metrik coklat setahun, merangkumi anggaran 100 juta unit untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengenalan resipi baharu ini dijangka mampu mengukuhkan lagi kedudukan Cadbury sebagai peneraju dalam pasaran coklat tempatan, selain merangsang pertumbuhan eksport produk coklat Malaysia ke luar negara.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN