Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASUKANHarimau Malaya cakar Cape Verde, seri 1-1 suntik semangat baharu

Harimau Malaya cakar Cape Verde, seri 1-1 suntik semangat baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Skuad Harimau Malaya meraih suntikan moral menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 apabila berjaya mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan gandingan penyerang utama – Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim – bagi menguji ketajaman jentera serangan negara.

Namun begitu, benteng pertahanan negara dikejutkan seawal minit kesembilan apabila Sidny Carbal meledak gol pembukaan buat pasukan dari benua Afrika itu selepas satu gerakan pantas di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Harimau Malaya kembali memperkemaskan permainan dan melancarkan beberapa percubaan bahaya terutama menerusi rembatan Arif Aiman, namun ketangkasan barisan pertahanan Cape Verde memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara tampil lebih agresif dengan beberapa percubaan tepat ke arah gawang lawan, namun buntu mencari gol penyamaan meskipun Arif Aiman hampir menemui sentuhan jaringan.

Cklamovski kemudian melakukan beberapa pertukaran taktikal dengan memasukkan Paulo Josue, Endrick Dos Santos dan Stuart Wilkin, yang ternyata memberi impak segera apabila Josue meledak gol penyamaan pada minit ke-79 hasil satu penyudah tenang dalam kotak penalti.

Pemain tengah naturalisasi itu hampir mencipta detik gemilang buat Malaysia apabila percubaan keduanya di penghujung permainan hanya dinafikan oleh kecekapan penjaga gol lawan.

Keputusan seri 1-1 itu kekal hingga tamat permainan, sekaligus menjadi medan ujian berguna buat Harimau Malaya dalam usaha membentuk keserasian menjelang aksi penting menentang Vietnam pada 10 Jun nanti dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia dijadualkan bertemu sekali lagi dengan Cape Verde dalam satu lagi aksi persahabatan tertutup pada Selasa depan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN