PUTRAJAYA – Kerajaan kekal komited dalam usaha mengurangkan jumlah hutang negara selaras dengan pelaksanaan reformasi fiskal menerusi Kerangka Ekonomi MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, meskipun berdepan cabaran ekonomi global, Malaysia berjaya mengekalkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.4 peratus bagi suku pertama 2025, sekali gus menunjukkan pengurusan fiskal negara yang semakin stabil.
“Banyak pihak bercakap tentang hutang negara seolah-olah kita menambah beban, sedangkan kita sebenarnya telah mengurangkan hutang tahunan secara konsisten,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa hutang baharu negara telah menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM90 bilion (2023), RM85 bilion (2024) dan diunjurkan sekitar RM80 bilion tahun ini.
“Maknanya, sejak kita ambil alih, kita sudah turun hutang RM20 bilion.
“Ini bukan retorik tetapi hasil pengurusan fiskal berhemah dan disiplin perbelanjaan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan kadar defisit negara berjaya diturunkan daripada 5.5 peratus (2022) kepada 4.1 peratus (2024), dengan unjuran 3.8 peratus tahun ini.
“Jika defisit tidak dikawal, keyakinan pelabur dan pasaran tidak akan pulih.
“Tugas kerajaan bukan sekadar berbelanja, tetapi mengurus supaya ada pulangan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyentuh laporan positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap pelaksanaan reformasi fiskal negara, khususnya melalui pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata pengukuhan nilai ringgit sebanyak 5.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat setakat 18 Jun lalu turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pembaharuan yang sedang digerakkan.
“IMF menyifatkan FRA 2023 sebagai tonggak penting reformasi fiskal negara, Semua kerajaan yang menjadi ahli IMF sejak merdeka memang perlu melalui proses rundingan seperti ini,” katanya.
Anwar juga mengkritik sikap segelintir pihak yang hanya lantang mengkritik ketika berlaku kelemahan, tetapi mendiamkan diri apabila pencapaian positif dicapai oleh kerajaan.