Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHIbu didakwa 'jual' anak sendiri untuk eksploitasi seks

Ibu didakwa ‘jual’ anak sendiri untuk eksploitasi seks

- Advertisement -

IPOH – Seorang ibu tunggal berusia 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan memperdagangkan anak kandungnya bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sentosa 2, Sitiawan, antara 4 September 2024 hingga 7 Jun 2025 dengan memaksa anak perempuannya yang kini berusia 21 tahun bekerja sebagai pekerja seks menggunakan kekerasan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak bekerja itu turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14 akta sama kerana didakwa memperdagangkan anaknya semasa mangsa masih berusia 17 tahun, dari tahun 2022 hingga 3 September 2023.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi termasuk dua lagi anaknya yang berusia 16 dan 19 tahun, namun dibenarkan bertemu mereka dengan kehadiran pegawai penyiasat.

Tarikh 31 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi tujuan pelantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN