Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANJalur Gemilang lambang cinta negara, MB Selangor sokong inisiatif KPM

Jalur Gemilang lambang cinta negara, MB Selangor sokong inisiatif KPM

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar disifatkan sebagai langkah positif dalam menyemai semangat cintakan negara sejak di bangku sekolah, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bukan sahaja memupuk patriotisme, malah mencerminkan perpaduan dan kesedaran terhadap identiti kebangsaan dalam kalangan pelajar.

“Selaras aspirasi Malaysia MADANI, ia menyemarakkan semangat kenegaraan dan menyemai nilai karamah insaniah, iaitu kemuliaan insan yang membentuk sahsiah terpuji.

“Jalur Gemilang adalah simbol kemegahan, kebanggaan dan kehormatan buat seluruh rakyat Malaysia. Panji ini harus dijunjung dan dipelihara kehormatannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar ketika menghadiri program di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, di mana beliau meluangkan masa bersama pelajar dan memakaikan sendiri lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka.

Amirudin menegaskan, meskipun kelihatan kecil, usaha seperti ini adalah penting dalam membina jati diri dan semangat cinta tanah air dalam kalangan generasi muda.

Terdahulu, KPM memaklumkan bahawa pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan bawah kendalian kementerian bermula 21 April 2025. Ia melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN