KUALA LUMPUR – Filem adiwira tempatan, Keluang Man, yang dinanti-nantikan ramai akhirnya gagal mencetuskan impak besar apabila hanya berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.3 juta selepas 18 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Meskipun berada di bawah Skim Wajib Tayang dan diterbitkan oleh syarikat perfileman gergasi, Astro Shaw, kutipan tersebut dianggap mengecewakan dan jauh daripada jangkaan, apatah lagi jika dibandingkan dengan kejayaan luar biasa filem terbitan syarikat sama sebelum ini.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini, Keluang Man hanya mampu menarik kehadiran kira-kira 141,000 penonton sejak mula ditayangkan.
Perbandingan semakin ketara apabila filem animasi Ejen Ali The Movie 2 yang masih berada di pawagam terus mendominasi carta kutipan filem tempatan dengan kejayaan mencipta sejarah sebagai filem animasi paling laris di Malaysia.
Kegagalan Keluang Man menambat hati penonton turut mengecewakan beberapa penggiat seni tanah air yang percaya filem berkenaan sepatutnya mampu pergi lebih jauh berikutan kualiti produksi yang tinggi serta jalan cerita yang unik dan segar.
Namun begitu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menjelaskan bahawa objektif penerbitan filem ini bukan semata-mata berasaskan kepada kutipan pecah panggung.
“Bagi kami, projek ini adalah usaha untuk membuka laluan baharu kepada filem adiwira tempatan. Keluang Man bukan sekadar kutipan, tetapi tentang hala tuju baharu industri perfileman tempatan,” katanya.
Sementara itu, sebuah lagi filem tempatan berjudul Gantung: Musketeer Code turut mengalami nasib sama apabila ditamatkan tayangannya lebih awal di beberapa pawagam, dengan kutipan hanya sekitar RM117,000 selepas 11 hari tayangan.
Pemerhati industri berpendapat bahawa Keluang Man masih berpotensi untuk bangkit semula sekiranya strategi promosi diperkuatkan dan tempoh tayangan dilanjutkan. Namun, buat masa ini, langit masih belum cukup cerah untuk adiwira tempatan itu terbang tinggi di persada pawagam negara.