PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa pembelaan kepada Siti Bainun Ahd Razali telah memfailkan notis usul untuk memasukkan laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, sebagai keterangan tambahan dalam rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atasnya.
Peguam Haijan Omar, yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu, berkata laporan berkenaan dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf pada 25 Julai 2024, dalam kes pengabaian anaknya, Zayn Rayyan, dan didakwa berkaitan dengan kes rayuan Siti Bainun.
Ketika prosiding di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing, Haijan memohon agar mahkamah membenarkan laporan polis tersebut dimasukkan sebagai keterangan baharu dalam rayuan utama kelak.
“Kami juga memohon untuk memanggil Ismanira sebagai saksi tambahan, serta memanggil semula salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes Siti Bainun,” katanya, sambil menjelaskan bahawa perayu hanya mengetahui kewujudan laporan itu pada 24 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa, mengesahkan bahawa pihak pendakwaan baru menerima notis usul tersebut dan akan menyiasat laporan polis berkenaan serta membalas permohonan pembelaan dalam masa terdekat.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Dalam sidang media selepas prosiding, Haijan memberitahu bahawa tarikh rayuan utama ditangguhkan ke bulan Julai bagi memberi ruang kepada semua pihak melengkapkan dokumen berkaitan permohonan keterangan tambahan itu.
Siti Bainun kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023 mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak, selain diarahkan menandatangani bon berkelakuan baik, membayar cagaran RM5,000 dan melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat selepas tamat hukuman penjara.
Mahkamah Tinggi turut menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.