KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat kesan darah yang dikesan di dalam bilik dan tandas di kediaman Zayn Rayyan Abdul Matin di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai.
Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dapatan itu diperoleh hasil daripada ujian luminol yang dijalankan oleh pasukan forensik pada 9 Disember 2023 di lokasi kejadian.
“Ujian DNA mendapati darah yang ditemui dalam bilik air adalah milik tertuduh pertama, Zaim Ikhwan Zahari, seperti mana yang dinyatakan dalam laporan kimia. Walaupun tertuduh kedua, Ismanira Abdul Manaf, ada memaklumkan si mati pernah mengalami luka akibat terkena pisau cukur di dalam bilik air, namun hasil ujian tetap menunjukkan ia milik Zaim,” jelas saksi pendakwaan itu.
Tambah beliau, dalam keterangannya kepada polis, Ismanira turut menyatakan bahawa Zayn Rayyan pernah mengalami pendarahan di bahagian hidung dan akan mencalit kesan darah tersebut pada dinding bilik atau di kawasan dalam rumah.
Namun begitu, semasa prosiding berlangsung, saksi tidak memperincikan pemilik sebenar darah yang ditemui di dalam bilik berkenaan.
Terdahulu, Mohd. Hafizee memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau bersama pasukan forensik tiba di lokasi kejadian pada jam 9.30 malam dan melakukan ujian luminol. Pemeriksaan turut dijalankan ke atas beberapa rumah lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sehingga tugasan tamat pada jam 2 pagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung esok.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, yang ketika itu berusia enam tahun, telah mengabaikannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023, di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.