PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memohon maaf secara terbuka atas kesilapan dalam pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
Dalam kenyataan rasmi, KPM menegaskan bahawa kecuaian tersebut tidak boleh diterima memandangkan Jalur Gemilang merupakan lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat serta siasatan terperinci sedang dijalankan. Laporan tersebut juga telah diminta dikembalikan kepada kementerian untuk pembetulan segera,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan salinan laporan yang dilihat, kesilapan pada Jalur Gemilang dikesan di muka surat 4, 14, 15 dan 16. Laporan tersebut telah diedarkan kepada petugas media selepas pengumuman rasmi keputusan SPM 2024 oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Insiden ini berlaku tidak lama selepas kontroversi melibatkan sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu, sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Susulan insiden tersebut, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar berkenaan telah ditahan polis bagi membantu siasatan. Perkara itu turut mendapat teguran daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menzahirkan rasa tidak senang dan mengingatkan pihak editorial agar lebih berhati-hati dan peka terhadap kandungan yang diterbitkan.
KPM dalam kenyataannya juga menegaskan bahawa ketepatan dan kepekaan terhadap simbol negara perlu sentiasa dijaga, lebih-lebih lagi dalam dokumen rasmi yang melibatkan sistem pendidikan negara.