Selasa, 8 Julai 2025
UTAMASEMASALaluan masuk IAB Genting ditutup akibat tanah runtuh

Laluan masuk IAB Genting ditutup akibat tanah runtuh

- Advertisement -

BENTONG – Satu kejadian tanah runtuh berlaku di hadapan Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands (IABCGH), Jumaat lalu, menyebabkan laluan masuk utama ke institut itu ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.

Pengarah IABCGH, Norazmir Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 meter dari pondok pengawal utama, dan semua urusan keluar masuk kini dialihkan ke pintu belakang berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Layang.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong telah dimaklumkan secara lisan dan surat rasmi sedang disediakan bagi tindakan lanjut.

“Semua warga institut turut dinasihatkan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gangguan bekalan air dan elektrik. Arahan penadahan air telah dikeluarkan dan langkah awal sedang diambil di blok latihan dan menara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi IABCGH.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Institut Aminuddin Baki Pusat, Ab Aziz Mamat, yang turun padang meninjau lokasi kejadian serta memberikan sokongan moral kepada warga institut.

Pihak institut akan terus mengemas kini maklumat berkaitan kejadian demi keselamatan semua pihak.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN