KUALA LUMPUR – Lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 23 tahun itu telah direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
“Pihak polis memandang serius insiden yang berlaku kerana ia mengancam ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999. Maklumat juga boleh disampaikan di mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, akhbar media melaporkan tentang satu video tular berdurasi 23 saat yang memaparkan beberapa lelaki bergaduh di kawasan Dataran Merdeka pada malam Jumaat lalu.
Rakaman tersebut menunjukkan aksi tolak-menolak dan membaling topi keledar, dipercayai berlaku di tengah kehadiran sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang turut berada di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.