KUALA LUMPUR – Pelakon, Mimi Lana mengakui sudah bersedia untuk menerima kehadiran cahaya mata pada bila-bila masa selepas melangsungkan pernikahan dengan aktor popular, Syafiq Kyle tiga bulan lalu.
Menurut Mimi atau nama penuhnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 30, dia dan suami telah berbincang mengenai soal keluarga dan menyerahkan rezeki zuriat kepada ketentuan Ilahi.
“Sebagai pasangan berkahwin, sudah tentu kami ada bercakap soal anak. Tetapi kami menyerahkan soal rezeki anak kepada Allah SWT. Apa yang boleh kami lakukan adalah berusaha. Kalau ada rezeki, ada lah,” katanya.
Tambah Mimi, dia secara peribadi telah pun bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu, manakala Syafiq pula lebih awal menunjukkan keterujaan untuk bergelar bapa.
“Saya memang sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu. Syafiq lagilah, sudah lebih bersedia untuk menjadi seorang ayah. Tiap-tiap hari dia bercakap fasal nama anak,” ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen jenama Fila, hari ini.
Dalam pada itu, Mimi yang bakal memulakan penggambaran sebuah filem seram tidak lama lagi berkata, dia tidak merancang untuk hamil mengikut waktu kerja atau projek seni.
“Kalau nak tunggu habis penggambaran drama atau filem, memang sampai bila-bila pun kerja tu takkan habis. Dulu pun kalau tunggu habis penggambaran, memang tak kahwinlah saya. Sekarang bila dah kahwin kalau boleh tak mahu tunggu-tunggu lagi,” jelasnya.
Mimi turut memohon doa agar mereka dikurniakan zuriat dalam masa terdekat dan menyifatkan ia sebagai satu anugerah yang dinanti.
Sementara itu, bintang drama Bunga Hati itu turut berkongsi kisah ‘pra bulan madu’ yang dilalui bersama suami ketika berada di Mesir untuk penggambaran sebuah program baru-baru ini.
“Kami belum sempat untuk pergi bulan madu lagi kerana masing-masing sibuk. Jadi penggambaran selama seminggu di Mesir kami anggap sebagai pra bulan madu sebelum bulan madu sebenar,” katanya lagi.
Untuk rekod, pasangan selebriti ini telah mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak pada 14 Februari lalu.


