KUALA LUMPUR – Juadah raya seperti ketupat dan rendang yang sepatutnya mengubat rindu pelajar kepada kampus bertukar menjadi saksi bisu tragedi menyayat hati apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertembung dengan sebuah Perodua Alza, mengorbankan 15 nyawa awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi di Kilometer 92, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke Tanjung Malim, Perak, membawa lebih 40 pelajar.
Menurut sumber polis, kemalangan melibatkan pelanggaran antara bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan. Akibat rempuhan kuat itu, 15 individu disahkan maut di lokasi kejadian.
“Sebahagian besar yang maut terdiri daripada penumpang Perodua Alza dan beberapa pelajar yang menaiki bas. Seramai 33 lagi cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik dan Hospital Baling, Kedah,” katanya.
Menyedihkan, antara barangan yang berselerakan dalam bas selepas kejadian termasuk ketupat, rendang, bekas minuman, dan wang kertas, simbol perjalanan pulang yang sepatutnya dipenuhi harapan dan kenangan Aidiladha.
Pelajar-pelajar UPSI tersebut dipercayai baru selesai cuti perayaan dan dalam perjalanan kembali ke kampus mereka di Tanjung Malim sebelum tragedi berlaku.
Sementara itu, usaha menyelamat dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk mengenal pasti identiti mangsa yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.