KEPALA BATAS – Sebuah pesawat pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan tergelincir dari landasan ketika cuba mendarat di Pangkalan Udara Kepala Batas, petang tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu dipercayai berlaku semasa pesawat terbabit menjalani latihan penerbangan intensif sebagai persiapan menghadapi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.
Setakat ini, TUDM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Sementara itu, Malaysia Airports memaklumkan bahawa landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan pesawat dan pembersihan dijalankan.
“Penutupan ini bertujuan memastikan keselamatan semua operasi penerbangan dan dijangka berterusan sehingga jam 10.30 malam ini,” menurut kenyataan tersebut.
Notis kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan, dan pihak berkuasa menasihati penumpang, termasuk jemaah haji yang dijadualkan berlepas dari LTSAH, supaya merujuk kepada syarikat penerbangan atau Lembaga Tabung Haji bagi maklumat terkini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memaklumkan perkembangan selanjutnya setelah landasan disahkan selamat untuk dibuka semula.