KUALA LUMPUR – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dengan kerjasama Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Tourism Productivity Nexus (TPN), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor telah menganjurkan Travel Storytelling Competition: Promoting Malaysia Diversity bagi memupuk kreativiti dan semangat inovatif dalam kalangan generasi muda melalui penceritaan digital berkaitan pelancongan Malaysia.
Menurut Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid, pertandingan ini membuka ruang kepada peserta untuk menonjolkan kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi Malaysia melalui platform digital.
“Program ini menonjolkan kuasa kreativiti dan teknologi dalam merakam keindahan Malaysia melalui pelbagai perspektif seperti ekopelancongan, warisan budaya, pelancongan bandar dan gastronomi.”
PSIS komited dalam memperkasa bakat pelajar dalam bidang digital dan kreatif. Pertandingan ini bukan sekadar sebuah cabaran, malah merupakan platform pembelajaran bermakna dalam penghasilan kandungan digital yang mampu mempromosikan Malaysia secara inovatif. Para pelajar turut didedahkan kepada kemahiran penceritaan, komunikasi serta media digital yang semakin penting dalam industri pelancongan moden.
Pertandingan ini telah menerima penyertaan menggalakkan daripada 804 peserta merangkumi pelajar politeknik, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah dan sekolah rendah dari seluruh Malaysia. Para peserta telah memuat naik video dan gambar promosi mereka di media sosial sebagai sebahagian daripada kempen menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
10 finalis terbaik telah dipilih dan dijemput ke MaTiC untuk sesi pembentangan karya kepada panel juri, di mana mereka berkongsi kisah dan inspirasi di sebalik penghasilan kandungan masing-masing.
Selain itu, pertandingan sampingan Video Race turut diadakan, melibatkan 48 pelajar dari 16 kumpulan sekolah, yang diberikan masa selama tiga jam untuk menghasilkan video promosi berkaitan MaTiC dan pelancongan Malaysia. Turut serta ialah 30 pelajar PSIS yang menyahut cabaran khas dalam penghasilan kandungan digital kreatif.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Rohizam Md Yusoff dari TPN, dengan kehadiran wakil-wakil rasmi dari MaTiC, Tourism Selangor, Tourism Malaysia serta Pengarah PSIS sendiri. Acara kemuncak menyaksikan penyerahan Fingerprint Digital Content sebagai simbol sumbangan peserta kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program ini berjaya memberi impak besar dalam memperkasakan generasi muda dengan kemahiran digital dan komunikasi yang relevan, serta menyumbang kandungan segar dan berkualiti kepada industri pelancongan negara. Dengan sokongan daripada 18 syarikat penaja, pertandingan ini menjadi platform berimpak tinggi dalam merancakkan sektor pelancongan serta memupuk bakat dalam pemasaran digital dan pengurusan acara.
waktu majlis ini berlangsung, semua best best