Ahad, 20 Julai 2025
UTAMASEMASAPin Jalur Gemilang tercucuk kaki kanak-kanak, ibu bapa luah kebimbangan

Pin Jalur Gemilang tercucuk kaki kanak-kanak, ibu bapa luah kebimbangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemakaian pin Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar yang mula dilaksanakan secara berperingkat sejak April lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya ibu bapa.

Langkah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini melibatkan semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya termasuk sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru. Ia bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik.

Namun, baru-baru ini tular satu insiden membabitkan seorang kanak-kanak perempuan prasekolah yang tercucuk kaki akibat pin bendera yang tercabut dan terjatuh di atas kerusi kereta milik abangnya yang bersekolah. Kejadian yang didakwa berlaku tanpa disedari itu membangkitkan semula kebimbangan segelintir ibu bapa terhadap penggunaan pin logam tajam dalam kalangan murid, khususnya pelajar sekolah rendah.

Gambar insiden tersebut dikongsikan oleh pengguna media sosial X, @KhairulAqmal, mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet. Sebahagian menyalahkan ibu bapa kerana kurang peka terhadap persekitaran anak-anak, manakala ramai juga yang mengkritik keputusan kementerian yang dianggap tidak praktikal dari segi keselamatan.

“Tanda nama dan lencana telah dijahit kemas pada pakaian pelajar, namun kini diperkenalkan pula bendera yang perlu dipakai menggunakan pin. Keputusan ini menimbulkan persoalan tentang pertimbangan keselamatan. Pin seumpama itu sepatutnya tidak dijadikan pilihan langsung,” kata seorang pengguna.

Seorang lagi warganet menulis, “Ha kan dah cakap. Haritu aku komen, kena kecam konon tak patriotik. Memang kena ada kes dulu barulah nak sedar.”

Sementara itu, pihak kementerian setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi susulan kejadian tersebut.

Terdahulu, KPM dalam kenyataannya menyebut bahawa pemakaian pin Jalur Gemilang akan dilaksanakan secara berperingkat dan berharap ia dapat menjadi simbol semangat cintakan negara.

Walau bagaimanapun, insiden yang berlaku menimbulkan persoalan lebih besar, adakah aspek keselamatan sudah diambil kira sepenuhnya sebelum dasar ini dilaksanakan?

Ibu bapa kini menyeru agar semakan semula dibuat terhadap penggunaan aksesori bersifat tajam dalam kalangan pelajar muda, atau sekurang-kurangnya digantikan dengan alternatif yang lebih selamat seperti lencana jahit atau tampal.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA