KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan rasa dukacita susulan tragedi nahas Penerbangan Air India 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, India pada Khamis.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau, Anwar menzahirkan simpati dan solidariti kepada seluruh rakyat India yang sedang berdepan saat-saat sukar.
“Saya amat berduka mendengar tentang tragedi nahas Penerbangan Air India 171 berhampiran Ahmedabad, India. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menyampaikan ucapan takziah yang ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang semua mangsa. Kita bersedih bersama India dan menyatakan solidariti sepenuhnya ketika usaha menyelamat dan bantuan terus dijalankan. Semoga mangsa dan semua yang berduka diberikan kekuatan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia berdiri teguh bersama India dan mendoakan agar usaha bantuan dan pemulihan pasukan penyelamat berjalan lancar.
Ucapan tersebut menerima respons positif daripada rakyat Malaysia yang turut menzahirkan doa dan sokongan kepada negara jiran itu.
Setakat ini, laporan awal pihak berkuasa India memaklumkan bahawa sejumlah korban telah disahkan, namun angka rasmi masih belum didedahkan kepada umum. Operasi menyelamat sedang giat dijalankan di lokasi kejadian dengan kerjasama beberapa agensi kecemasan.