Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKSKLUSIFTragedi UPSI: “Kami sempat makan mi tarik bersama, tak sangka itu kali...

Tragedi UPSI: “Kami sempat makan mi tarik bersama, tak sangka itu kali terakhir saya bersama dia” – rakan Adib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kehilangan seorang sahabat bukan mudah untuk diterima, apatah lagi apabila insan yang rapat itu pergi secara tiba-tiba dalam satu tragedi menyayat hati.

Itulah yang dirasai Muhamad Zamani Ispaini, 22, pelajar tahun dua Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, ketika mengimbas kenangan terakhir bersama sahabatnya, Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, salah seorang mangsa nahas kemalangan bas pelajar yang meragut 14 nyawa lain yang berlaku di Gerik, baru-baru ini.

Zamani memberitahu, kenangan terakhir yang paling terkesan di hatinya adalah saat mereka menyambut cuti Hari Raya Aidiladha bersama-sama. Tambahnya, dia mendapat tahu tentang berita kemalangan itu pada waktu pagi dan terus menghubungi ibu arwah untuk kepastian.

“Kami balik awal hari Rabu. Dia nak balik ke rumah abangnya di Batu Caves, saya pula ke rumah kakak saya di Shah Alam. Sebelum tu sempat jalan-jalan di KL, makan mi tarik, pergi Pasar Seni. Tak sangka itulah kali terakhir saya bersama dia,” katanya ketika dihubungi MYBERITA pada Khamis.

“Saya mesej umi arwah. Masa dia beritahu yang Adib dah tiada, saya rasa jantung macam gugur. Tak sangka. Baru semalam kami berbual,” katanya dalam nada sayu.

Zamani menggambarkan arwah sebagai seorang yang pendiam dan bersikap introvert, namun sangat menghargai persahabatan yang dijalin.

“Arwah bukan jenis yang mudah mesra dengan semua orang, tapi bila dah kenal, dia sangat baik. Suka belanja makan, suka hargai kawan rapat. Setiap kali ada program, kami mesti tunggu satu sama lain, sebab nak makan sama-sama. Itu jadi rutin kami,” katanya sambil menahan sebak.

Berkongsi detik awal perkenalan mereka yang bermula sekitar awal tahun ini, Zamina memberitahu beliau mengenali Allayarham menerusi penglibatan dalam sebuah program anjuran fakulti.

“Kami sama-sama sertai satu program. Masa tu terserempak, dan entah kenapa saya rasa macam nak bertugas sekali dengan dia. Dari situ kami bertukar nombor telefon dan mula merancang program lain sama-sama selepas itu,” katanya.

Allahyarham juga aktif dalam pelbagai program kolej, bahkan pernah memegang jawatan sebagai pengarah program dan dikenali sebagai antara ‘orang kuat’ fakulti.

“Walaupun pendiam, tapi dia rajin dan bertanggungjawab. Cuma dia hanya terbuka dengan orang-orang tertentu sahaja,” ujarnya.

Salah satu impian yang pernah dikongsi arwah kepada Zamani adalah untuk membahagiakan keluarganya dan rakan-rakan.

“Dia selalu rasa bersyukur ada orang sudi jadikan dia kawan. Kami ambil jurusan yang sama dan berkongsi cita-cita yang sama nak jadi cikgu,” katanya lagi.

Zamani merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap orang ramai terus mendoakan kesejahteraan arwah di alam sana.

“Salam takziah kepada keluarga arwah. Insya-Allah saya akan sentiasa ada untuk mereka. Kepada semua yang mengenali Adib, jagalah aibnya dan teruskan berkata perkara baik tentang dia. Jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan semua mangsa lain.”

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN