Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAEKONOMITealive kini ada serbuk 3 dalam 1, boleh terus minum dekat mana...

Tealive kini ada serbuk 3 dalam 1, boleh terus minum dekat mana pun

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kalau dulu Tealive hanya boleh dinikmati di kiosk atau cawangan mereka, kini jenama teh gaya hidup popular itu bawa kelainan dengan melancarkan rangkaian serbuk minuman 3-dalam-1 pertama mereka.

Menampilkan rasa teh susu, kopi dan coklat kegemaran ramai, versi pek kecil ini bukan sahaja mudah disediakan, malah masih mengekalkan rasa premium seperti yang dinikmati di kedai. Nak minum di rumah, pejabat atau bawa travel? Semua boleh.

7

Majlis pelancaran yang berlangsung meriah di IOI City Mall pada Khamis turut memperkenalkan menu baharu Tealive dan diserikan dengan kehadiran firgura terkenal, Khairy Jamaluddin, yang juga merupakan bekas Menteri dan podcaster popular.

Menyifatkan pelancaran ini sebagai detik bersejarah untuk inovasi Malaysia, Khairy memuji keberanian Tealive yang terus melangkah ke hadapan dan membawa budaya kita ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, ini bukan sekadar produk baharu, tapi lambang bagaimana gaya hidup rakyat Malaysia kini turut dikomersialkan dalam bentuk yang membanggakan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo, berkata pelancaran ini adalah langkah penting bagi memastikan jenama Tealive terus relevan dengan gaya hidup moden.

Katanya, ramai peminat Tealive mahukan sesuatu yang boleh dinikmati bila-bila masa tanpa perlu ke kedai. Maka, terhasillah idea untuk menghasilkan pek kecil 3-dalam-1 ini – lebih praktikal, lebih fleksibel, dan tetap sedap. Boleh bancuh sendiri, ikut citarasa sendiri, sama ada ketika bersantai di rumah atau sibuk di tempat kerja.

Serbuk minuman ini bakal berada di pasaran bermula 15 Jun ini, dan boleh didapati secara eksklusif di pasar raya AEON, cawangan Tealive seluruh negara serta secara dalam talian. Menariknya, setiap kotak yang berharga RM12.90 mengandungi lima hingga enam pek kecil, dan dibuat menggunakan bahan-bahan premium supaya rasa lemak berkrim tetap terasa seperti yang biasa pelanggan nikmati.

Bryan turut menekankan bahawa Tealive tidak sekadar menjual produk, tetapi menjual satu gaya hidup. Bagi mereka, setiap cawan Tealive membawa mesej positif dan semangat untuk menyebarkan kegembiraan. Sebab itu juga mereka sangat teliti dalam pemilihan bahan dan perisa, demi memastikan pengalaman yang dirasai pelanggan sentiasa konsisten walaupun dalam bentuk serbuk segera.

Khairy pula menyifatkan langkah ini sebagai sesuatu yang perlu dicontohi oleh jenama tempatan lain. Katanya, menyokong produk tempatan bukan sahaja tanda patriotisme, tetapi juga pelaburan terhadap masa depan negara.

Menurut beliau, jenama seperti Tealive bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membina semangat yakin diri rakyat Malaysia terhadap kebolehan tempatan.

Dalam majlis sama, Tealive turut memperkenalkan beberapa menu baharu yang lebih sihat dan memenuhi selera pelanggan masa kini. Antara yang menjadi tumpuan ialah minuman Bang Bang yang kini diperbaharui dengan rasa lebih lemak berkrim, serta siri teh premium seperti Da Hong Pao dan Snowy untuk pelanggan yang inginkan sesuatu lebih eksklusif.

Bryan menjelaskan pembaharuan ini dibuat supaya setiap pelanggan sama ada yang suka minuman manis atau yang lebih prihatin terhadap kesihatan, mempunyai pilihan yang sesuai dengan gaya hidup mereka.

Sebagai menyuntik lagi elemen lokal dalam jenama, Tealive turut mengumumkan beberapa kolaborasi istimewa dengan jenama tempatan lain untuk menghasilkan barangan edisi terhad. Tujuannya adalah untuk meraikan kreativiti, warisan dan identiti Malaysia secara lebih luas dan bergaya.

Menurut laporan Frost & Sullivan, industri kedai minuman teh di Malaysia dijangka terus berkembang pesat, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 9.6 peratus antara 2024 hingga 2029. Ini sekali gus memberi peluang besar kepada Tealive untuk terus menguasai pasaran, bukan sahaja di sektor runcit, tetapi juga dalam pasaran produk pengguna bergerak pantas (FMCG).

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN