PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Pendidikan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian itu petang Rabu bagi membincangkan strategi dan hala tuju baharu pendidikan negara menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri memaklumkan antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah pendidikan prasekolah, latihan guru serta peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Turut disentuh ialah pelaksanaan pembangunan profesional berterusan (CPD) sebagai usaha memperkasa tenaga pengajar serta pemantapan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) demi meningkatkan daya saing pelajar di masa hadapan.
Selain itu, sesi perbincangan turut meliputi pengajian Tingkatan 6 dan program matrikulasi, isu keciciran murid, permit mengajar bagi sektor awam dan swasta serta cadangan menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih selari dengan keperluan semasa.
“Segala intipati dan iltizam yang terbit daripada perbincangan ini harus digerakkan segera secara menyeluruh, tersusun dan berani demi masa depan anak-anak, para pendidik dan ekosistem pendidikan negara,” ujar Perdana Menteri.
Beliau turut menekankan keperluan menyemak semula dasar lama dan menyegarkan pendekatan sedia ada agar setiap pelaburan menerusi RMKe-13 mampu menghasilkan sistem pendidikan yang lebih adil, berpandangan jauh dan mampan.
“Dunia sedang berubah pantas dan kita tidak boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia lama atau terpuruk dalam perancangan silam yang mungkin sudah tidak relevan,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan terhadap reformasi pendidikan adalah jelas demi memastikan negara terus melahirkan generasi berdaya saing serta menjulang masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera.