KUALA LUMPUR – Pempengaruh terkenal, Azfar Heri meluahkan rasa kecewa dan terkejut apabila niat baiknya menganjurkan rumah terbuka pertama kali untuk keluarga dan rakan-rakan terdekat disalah ertikan sehingga mencetuskan perbandingan serta komen negatif dalam kalangan netizen.
Menurut Azfar atau nama sebenarnya Muhammad Azfar Herisyam, 27, segelintir warga maya membuat dakwaan melulu kononnya beliau hanya menjemput golongan T20, VVIP dan influencer sahaja, sedangkan majlis itu turut dihadiri keluarganya dari Melaka dan kenalan rapat.
“Saya ni first time buat open house, memang niat nak sedekah untuk kawan-kawan dan keluarga. Tapi saya terima komen yang kata saya pilih kasih, tak jemput B40. Saya jadi marah dan kecewa,” katanya menerusi satu video di media sosial miliknya.
Tambah Azfar, majlis tersebut turut dihadiri rakan-rakan adik-beradiknya dan kenalan ibunya, dan bukan hanya dalam kalangan selebriti atau jenama terkenal semata-mata.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran jenama-jenama tertentu dalam majlis tersebut adalah hasil kerjasama sebelum ini dan bukannya tanda eksklusiviti.
“Saya culture shock dengan komen macam itu. Kalau tak puas hati, simpanlah. Jangan ajak orang lain fikir negatif sekali,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azfar menasihatkan masyarakat supaya belajar meraikan kegembiraan orang lain, dan tidak menjadikan rumah terbuka sebagai isu yang tidak sepatutnya diperbesar.
Beliau juga membidas dakwaan sesetengah pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya dia telah bertunang.
“Sudah-sudahlah buat spekulasi. Saya sampai kena tuduh bertunang pula. Tolong bagi saya ruang,” katanya mengakhiri kenyataan.
Azfar Heri turut menyeru orang ramai supaya lebih matang di media sosial dan tidak cepat menjatuhkan individu lain hanya berdasarkan persepsi.
@azfarherii Terkejut kita awak. Ingat, hidup ni jangan la busuk hati dengan orang, jangan iri hati dengan orang, belajar buat baik dengan semua orang dan yang penting jangan jadi penyondol okay ? Muah
♬ original sound – azfarheri