KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie bersedia menghadapi cabaran getir dalam usaha mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia 2024 yang akan bermula esok di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pasangan negara itu menyedari laluan mereka tidak mudah apabila hampir kesemua pasangan beregu campuran 10 terbaik dunia, termasuk gandingan utama dari China, akan turut serta dalam kejohanan kali ini.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan kejuaraan. Tapi kami tak mahu fikir terlalu jauh, ambil satu perlawanan demi satu dulu,” kata Soon Huat.
Pasangan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu bakal membuka kempen menentang gandingan muda dari Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch di pusingan pertama.
Sekiranya berjaya mara ke separuh akhir, mereka dijangka berdepan lawan sukar iaitu pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping — lawan yang belum pernah mereka tewaskan dalam dua pertemuan sebelum ini.
“Kami tidak boleh pandang rendah pemain China walaupun mereka hantar pemain muda. Pemain mereka tetap berbahaya dan sentiasa hadir dengan strategi serta kebolehan tinggi. Jadi kami perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental,” ujar Shevon.
Menariknya, Shevon tampil dengan imej baharu berambut pendek selepas 10 tahun, sebagai simbol permulaan baharu dan semangat baharu untuk menghadapi kejohanan-kejohanan besar akan datang.
Tahun lalu, Soon Huat-Shevon menjuarai Masters Malaysia selepas menewaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari di pentas final. Pencapaian terbaik mereka pada tahun ini pula adalah mara ke separuh akhir di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Aura dan sokongan penyokong di Axiata Arena diharapkan mampu memberi suntikan semangat buat gandingan negara untuk sekali lagi mengibarkan Jalur Gemilang di podium tertinggi kejohanan.