SHAH ALAM – Seorang penganggur yang disyaki membunuh penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya dipercayai pernah bermalam beberapa kali bersama kekasihnya di unit kediaman yang sama sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu diketahui hasil siasatan terhadap suspek berusia 20-an yang kini sedang direman polis bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek berpeluang bermalam di kediaman berkenaan selepas diberikan kad akses dan kunci rumah oleh kekasihnya yang merupakan rakan serumah mangsa.
“Apa yang saya boleh katakan, kekasih suspek menyerahkan kad akses dan kunci untuk tinggal di bilik tersebut. Sebelum itu, suspek ada bermalam dengan teman wanitanya di rumah itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan tempoh hubungan cinta antara suspek dan wanita terbabit.
Menurut Hussein, pada malam kejadian, suspek tinggal di salah sebuah bilik dalam rumah tersebut sebelum terserempak dengan mangsa.
“Itu dia terserempak dengan mangsa dan berlaku kejadian itu (pembunuhan),” jelasnya.
Mengulas lanjut, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari kawasan sekitar bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Tiada CCTV dalam rumah, tetapi di tempat lain kita ada CCTV untuk mengukuhkan kes ini,” katanya.