KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon doa dan sokongan rakyat menjelang hari penentuan kes mahkamahnya yang dijadual berlangsung pada Khamis, 17 April, selepas lebih lima tahun prosiding berkenaan berjalan.
Dalam satu hantaran ringkas tetapi penuh emosi di akaun TikTok miliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menzahirkan rasa syukur atas kekuatan yang diterimanya sepanjang tempoh perbicaraan.
“Berani kerana benar. Esok (hari ini) adalah hari penentuan di mahkamah. Lima tahun saya sabar. Kini tiba masanya untuk kebenaran dibela.
@syedsaddiq Berani kerana benar. Esok adalah hari penentu di Mahkamah. 5 tahun saya tunggu. 5 tahun saya sabar. Kini tiba masanya untuk kebenaran dibela. I don’t ask for much, but for your prayers. Kerana tiada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT
♬ original sound – Syed Saddiq
“I don’t ask for much, but your prayers (Saya tak minta banyak, cuma doa anda). Kerana tiada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT,” katanya.
Hantaran tersebut meraih ribuan tanda suka dan komen daripada para penyokong serta pengikut yang tidak putus-putus menitipkan doa dan kata-kata semangat kepada beliau.
“Semoga segala urusan YB Syed Saddiq dipermudahkan esok dan beroleh kemenangan. Aamiin Ya Allah,” kata seorang pengguna media sosial.
Kumpulan penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai #BASS turut membanjiri ruangan komen dengan pelbagai ucapan semangat dan doa buat wakil rakyat muda itu.
“Semoga dipermudahkan urusan. Doa kami peminat BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) sentiasa mengiringi,” ujar Shela Salih.
“Seluruh rakyat doakan YB #BASS,” tambah Aishah pula.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu telah menetapkan tarikh 17 April ini untuk menyambung hujahan pihak pendakwaan dalam rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan atas empat pertuduhan berkaitan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada).
Syed Saddiq, 32, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang membabitkan dana Armada.
Keputusan mahkamah esok dijangka menjadi titik penting dalam kerjaya politik Syed Saddiq serta menamatkan penantian panjang sejak kes itu mula dibicarakan lima tahun lalu.