Ahad, 20 Julai 2025
UTAMAJENAYAHTampar pipi anak kerana cakap 'bodoh', duda mengaku tak bersalah

Tampar pipi anak kerana cakap ‘bodoh’, duda mengaku tak bersalah

- Advertisement -

MELAKA – Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menampar pipi anak perempuannya yang berusia empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan, dalam kejadian yang berlaku tiga bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Hazmi Mansor, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak kandungnya itu dengan cara menampar pipi mangsa pada pukul 2 petang, 7 April lalu di sebuah kedai di Taman Cheng Utama, Melaka Tengah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana berang selepas mangsa beberapa kali menyebut perkataan ‘bodoh’ walaupun telah ditegur.

Tertuduh juga dikatakan telah bercerai sejak empat tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan memandangkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh dan bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.

Namun, peguam tertuduh, Amritpal Singh merayu agar jumlah jaminan direndahkan dengan alasan anak guamnya baru sahaja diberhentikan kerja dan masih menanggung kedua ibu bapanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 11 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen berkaitan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA