KUALA LUMPUR– Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dinamakan sebagai calon pilihan untuk menjawat jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025/2029.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam, mengumumkan bahawa pencalonan Tengku Zafrul dibuat selepas perbincangan menyeluruh bersama ahli-ahli majlis BAM yang mengutamakan kepentingan badan induk badminton negara itu.
“Majoriti ahli majlis telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul bagi jawatan Presiden BAM dalam pemilihan akan datang,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Menurut Subramaniam, pemilihan kepimpinan BAM bukan berdasarkan kepentingan individu, tetapi bagi memastikan pembangunan dan kemajuan sukan badminton negara berterusan.
Pemilihan jawatan Presiden BAM dijadualkan berlangsung pada 10 Mei depan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu. Setakat ini, tiada pencalonan rasmi lain dibuat, tetapi BAM akan meneliti sekiranya ada nama lain yang dikemukakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tengku Zafrul telah menyatakan persetujuannya terhadap pencalonan tersebut dan bersedia memikul tanggungjawab sekiranya diberi mandat oleh ahli-ahli BAM.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai Presiden BAM menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mahu melepaskan jawatannya pada awal tahun lalu. Namun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meminta Norza mempertimbangkan untuk kekal sehingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Selepas tamat temasya di Paris, BAM melantik Subramaniam sebagai Pemangku Presiden sehingga AGM berlangsung pada Mei depan.