KUALA LUMPUR – Perjalanan 15 buah van jenazah dari Jertih, Terengganu menuju ke Hospital Ipoh bagi mengambil jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di kawasan Tasik Banding, mengundang rasa hiba dalam kalangan masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Mr. Wan Chai, konvoi itu disertai 15 van jenazah yang disediakan oleh NGO dari Terengganu, manakala satu lagi van disediakan pihak UPSI.
Kesemua van jenazah itu dilaporkan telah melepasi kawasan nahas di Tasik Banding dan kini menuju ke Grik sebelum meneruskan perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Sepanjang perjalanan konvoi, orang ramai yang melihat pergerakan van jenazah dari tepi jalan dilihat mengangkat tangan mendoakan keselamatan dan kelancaran pengurusan jenazah para pelajar yang terkorban dalam kemalangan yang berlaku awal pagi Isnin lalu.
“Suasana macam ini memang kita tak mahu tengok, tapi Allah sayangkan mereka semua. Saya harap semua akan berjalan lancar,” kata seorang pengguna media sosial, Hiesham Fauzi.
“Allahu, sedihnya tengok. Memang kita tak mahu tengok keadaan seperti ini, tapi apakan daya, Tuhan telah tetapkan ajal mereka sebegini. Al-Fatihah,” luah Hafiz Muhamad.
Tragedi menyayat hati itu telah mengorbankan 15 pelajar UPSI dan mencederakan puluhan yang lain apabila bas yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan lalu terbalik di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.