WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan menghantar e-mel kepada para penyokongnya untuk meminta sumbangan berjumlah AS$15 (RM64) demi mencapai impiannya ke syurga, lapor Metro UK.
Dalam e-mel berkenaan, Trump menyatakan hasratnya untuk ‘mencuba pergi ke syurga’, sambil mengimbau kembali insiden cubaan membunuh dirinya tahun lalu.
“Saya mahu mencuba dan pergi ke syurga. Tahun lalu, saya hampir mati apabila peluru menembusi kulit saya. Kepulangan saya di White House tidak sepatutnya berlaku. Namun, saya percaya Tuhan telah menyelamatkan saya atas satu sebab: UNTUK MENJADIKAN AMERIKA HEBAT SEMULA,” katanya.
Trump turut memberitahu penyokong bahawa mereka telah melalui pelbagai cabaran bersamanya, termasuk pertuduhan jenayah, pilihan raya yang didakwanya ‘dicurangi’ serta percubaan pembunuhan.
Beliau menegaskan, ini adalah masa untuk menunjukkan kekuatan perjuangan politiknya:
“Kita TIDAK AKAN PERNAH berundur, TIDAK AKAN PERNAH walaupun seinci dan TIDAK AKAN MENYERAH dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara ini.”
Trump juga mengumumkan pelancaran kempen “Blitz Pengumpulan Dana Trump 24 Jam”, dengan menyeru setiap penyokong menyumbang AS$15.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC), jumlah kutipan yang berjaya dikumpul telah mencecah AS$1.86 juta (RM7.88 juta).
Bulan lalu, Trump turut mengulangi pendiriannya menerusi program Fox and Friends bahawa beliau berhasrat untuk “cuba pergi ke syurga jika boleh”.


