KUALA LUMPUR – Waktu operasi perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL akan dilanjutkan bermula Jumaat ini hingga Selasa depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di ibu negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), waktu puncak pada hari bekerja sepanjang tempoh tersebut akan ditambah satu jam pada waktu pagi dan petang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah penumpang.
Sebelum ini, waktu puncak pada hari bekerja bermula dari pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam. Namun, sempena sidang kemuncak tersebut, waktu puncak baharu akan bermula seawal pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi dan dari 4.30 petang hingga 8 malam.
Dalam kenyataan sama, Prasarana memaklumkan bahawa kekerapan operasi tren pada hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, juga akan dikurangkan kepada antara empat hingga lapan minit bagi menampung pertambahan bilangan penumpang yang dijangka berlaku sepanjang tempoh sidang kemuncak.
Bagaimanapun, Prasarana menjangkakan beberapa laluan bas dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand akan mengalami kelewatan jadual perjalanan berikutan penutupan jalan secara berperingkat sepanjang acara berlangsung.
Antara laluan yang terjejas termasuk laluan yang melibatkan pergerakan dari LRT Titiwangsa ke LRT Maluri, LRT Titiwangsa ke KLCC, Hab Pandan Indah ke Lebuh Ampang, dan Taman Mulia Jaya ke Lebuh Ampang.
Perkhidmatan On-Demand dari Zon Titiwangsa ke Chow Kit juga dijangka terkesan.
Sehubungan itu, pengguna perkhidmatan bas yang ingin menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disarankan untuk menggunakan perkhidmatan rel sebagai alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara stesen rel yang boleh menjadi pilihan termasuk Stesen KLCC di Laluan Kelana Jaya, Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Conlay di Laluan Putrajaya, Stesen Raja Chulan di Monorel KL, serta Stesen Bukit Bintang yang menghubungkan Laluan Kajang dan Monorel KL.
Prasarana turut menasihatkan para penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta sentiasa memantau sebarang perkembangan dan makluman terkini menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL atau dengan memuat turun aplikasi PULSE.
Penggunaan perkhidmatan rel secara strategik dilihat mampu mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran perjalanan sepanjang tempoh berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.