Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALWarga Nigeria gigit telinga polis hingga putus ketika ditahan

Warga Nigeria gigit telinga polis hingga putus ketika ditahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) mengalami kecederaan parah apabila telinga kirinya putus selepas digigit oleh seorang lelaki warga Nigeria dalam satu insiden di Jalan Kepong, Metro Prima di sini, pagi Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.03 pagi ketika koperal terbabit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sedang membantu menahan suspek yang bertindak agresif serta mengganggu operasi sebuah klinik berhampiran.

“Ketika anggota cuba memasukkan suspek ke dalam kenderaan peronda melalui pintu belakang, lelaki berkenaan yang ketika itu sudah bergari, secara tiba-tiba menggigit telinga kiri mangsa hingga terputus,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Anggota polis terbabit segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan di tempat kejadian dan kini disiasat di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

“Turut dijalankan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa di negara ini,” tambah Datuk Rusdi.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan dengan penguatkuasaan undang-undang dan memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjaga keselamatan bersama.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN