My Save Food@PUO beri manfaat besar, kurangkan pembaziran makanan
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai pembaziran makanan di bazar Ramadan menerusi program My Save Food @ Bazar Ramadan PUO yang berlangsung dari 4 hingga 6 Mac lepas.
Program anjuran Pemuda Gema dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) PUO ini bertujuan mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan, membantu pelajar yang memerlukan dengan menyediakan makanan berbuka secara percuma serta memupuk amalan pengurusan makanan yang lebih berhemah dalam kalangan peniaga dan masyarakat.
Menurut Yang Dipertua JPP PUO, Muhd Bazli, program ini bukan sahaja membantu pelajar yang kurang berkemampuan, malah turut memberi kesedaran kepada peniaga tentang kepentingan pengurusan makanan dan kebersihan bazar.
“Saya melihat kegembiraan di wajah pelajar yang menerima makanan hasil program ini. Ia bukan sekadar mengurangkan pembaziran, malah membentuk sikap lebih prihatin dalam kalangan peniaga dan masyarakat sekitar,” katanya.
Melalui inisiatif ini, makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar Ramadan dikumpulkan dalam dua sesi, iaitu pada pukul 7.15 malam dan 7.35 malam, sebelum disalurkan kepada pelajar yang memerlukan khususnya dalam kalangan pelajar asnaf.
-Iklan-
-Iklan-




