KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memberikan satu hari cuti am tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan rakyat membuat perancangan pulang ke kampung serta menyambut perayaan bersama keluarga.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, cuti tambahan itu akan diberikan sama ada pada Jumaat, 20 Mac atau Isnin, 23 Mac bergantung kepada tarikh sebenar 1 Syawal.
Menurut beliau, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 20 Mac, maka cuti tambahan akan diberikan pada Isnin, 23 Mac. Namun, jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, 21 Mac, kerajaan akan mengisytiharkan cuti tambahan lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac.
“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu, jangan bimbang, kita beri cuti tambahan hari raya.
“Kalau raya pada Jumaat, maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kota Kinabalu hari ini.
Tambah beliau, pengumuman awal tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada orang ramai membuat persiapan serta merancang perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Langkah itu juga diharap dapat membantu melancarkan pergerakan orang ramai serta memberikan peluang kepada rakyat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga semasa musim perayaan. -MYBERITA

