Isnin, 3 Ogos 2026
spot_img
PelbagaiBudak 46 tolak bantuan wang, mahu terus cari rezeki melalui affiliate

Budak 46 tolak bantuan wang, mahu terus cari rezeki melalui affiliate

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Budak 46, memaklumkan terdapat individu yang menghubungi adiknya bagi mendapatkan kod QR untuk menyalurkan bantuan kewangan selepas keadaan kesihatannya tular dan mendapat perhatian ramai sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Budak 46 atau nama sebenarnya Muhammad Ammarzulkha berkata, dia memilih untuk tidak menerima sumbangan tersebut kerana mahu terus mencari rezeki sendiri menerusi kandungan yang dihasilkan di media sosial.

Menerusi satu perkongsian video, beliau berkata adiknya memaklumkan terdapat pihak yang ingin mendapatkan kod QR bagi menyalurkan bantuan kepadanya.

@budak46.__

♬ Dealova Piano – DNP

“Adik saya telefon beritahu yang minta QR code.Tak perlu, selagi saya boleh buat video affiliate, saya akan buat itu saja. Cuma, ada masa saya akan muat naik video dan ada masa tak muat naik tetapi tidaklah sampai sebulan atau dua bulan,” katanya.

Menurut Budak 46, dia amat menghargai keprihatinan dan niat baik orang ramai yang ingin membantunya, namun merasakan bantuan kewangan bukanlah keutamaan buat masa ini.

Sebaliknya, beliau mahu terus berusaha mencari pendapatan sendiri selagi masih mempunyai kemampuan untuk berkarya.

“Jadi, hidup ini perlu diteruskan. Pedulilah apa orang nak kata. Daripada segi duit itu tak perlulah, saya tak nak,” katanya lagi.

Terdahulu, adiknya yang dikenali sebagai Cuna mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi keadaan kesihatan Budak 46 yang menghidap retinitis pigmentosa, iaitu penyakit mata yang menyebabkan penglihatan semakin merosot secara beransur-ansur.

Menurut Cuna, keadaan penglihatan abangnya semakin berkurangan dari hari ke hari, justeru beliau meminta orang ramai memberikan sokongan dengan membeli produk melalui pautan affiliate milik Budak 46.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya memuji sikap Budak 46 kerana memilih untuk berdikari dan terus berusaha mencari rezeki sendiri meskipun sedang berdepan ujian kesihatan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-