Isnin, 3 Ogos 2026
spot_img
Bisnes'Hey what's up guys', KA lancar Sambal Nyet Bilis

‘Hey what’s up guys’, KA lancar Sambal Nyet Bilis

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming bakal mencipta satu lagi sejarah dalam perjalanan perniagaannya apabila mengumumkan pelancaran produk keempat jenama keluarannya selepas enam tahun hanya menawarkan satu variasi sambal.

Pelancaran produk baharu itu disifatkan sebagai yang terbesar pernah diadakan oleh Khairul Aming, sekali gus menandakan fasa baharu perkembangan perniagaannya yang terus mendapat sambutan pengguna di seluruh negara.

Menurut Khairul Aming, produk terbaharu itu hadir dengan resipi yang berbeza daripada sambal sedia ada, menawarkan rasa lebih pedas serta menggunakan lebih banyak bahan bagi memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan.

“Selepas enam tahun berniaga dengan satu sambal sahaja, akhirnya kita dah bersedia untuk keluarkan sambal yang baharu. Rasa yang berbeza, lebih kick dan menggunakan lebih banyak bahan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Beliau berkata, pelancaran kali ini turut menjadi projek terbesar pernah dirancang oleh syarikatnya dan orang ramai diminta menantikan beberapa pengumuman penting yang akan dibuat secara berperingkat sepanjang minggu ini.

“Product launch kali ni akan jadi product launch terbesar yang KA pernah buat, jadi nantikan pengumuman seterusnya sepanjang minggu ni. Terima kasih guys for your support selama ni, pejam celik dah enam tahun kita berniaga bersama,” katanya.

Khairul Aming sebelum ini dikenali sebagai antara usahawan digital paling berjaya di negara ini apabila produk keluarannya sering mencatat jualan tinggi setiap kali dilancarkan, selain mempunyai pengikut yang ramai di pelbagai platform media sosial.

Pelancaran produk keempat itu dijangka terus mengukuhkan kedudukan jenama Khairul Aming dalam industri makanan tempatan, selain memenuhi permintaan pelanggan yang sekian lama menantikan variasi baharu daripada syarikat berkenaan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-