Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
BisnesKA lancar Sambal Nyet Bilis dari puncak Merdeka 118

KA lancar Sambal Nyet Bilis dari puncak Merdeka 118

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming menggabungkan semangat kemerdekaan dengan kejayaan jenama tempatan apabila memilih Puncak Merdeka 118 sebagai lokasi pelancaran Sambal Nyet Bilis, yang akan disiarkan secara langsung dari mercu tanda tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia.

Pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menjadi simbol perjalanan Sambal Nyet yang berkembang daripada sebuah perniagaan kecil di kedai runcit tepi jalan kepada jenama tempatan yang mendapat kepercayaan jutaan rakyat Malaysia.

Menurut Khairul Aming, konsep bertemakan kemerdekaan dipilih bagi menghargai jasa pejuang negara, selain mengajak rakyat terus menyokong produk tempatan dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian.

“Konsep kemerdekaan dipilih untuk live stream ini untuk kita sama-sama mengimbau dan meraikan jasa-jasa pejuang yang memberikan kemerdekaan kepada tanah air kita,” katanya.

Beliau berkata, persiapan majlis itu dilakukan sejak beberapa bulan lalu kerana penganjurannya di aras tertinggi Merdeka 118 memerlukan perancangan yang teliti.

Khairul Aming turut mengakui sebak apabila mengimbau perjalanan enam tahun membangunkan Sambal Nyet, daripada pelancaran botol pertama di sebuah kedai runcit kecil sehingga kini mampu dilancarkan dari mercu kebanggaan negara.

“Menitik air mata edit video ni mengenangkan penat lelah berusaha dari dulu lagi. Enam tahun lepas botol Sambal Nyet yang pertama dilancarkan di satu kedai runcit tepi jalan, dan untuk sambal yang kedua kita akan lancarkan dari puncak tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan jenama tempatan mampu melakar pencapaian besar dengan sokongan berterusan rakyat Malaysia.

Malah, majlis yang dijadual berlangsung selama tiga jam itu turut dijadikan platform mempromosikan produk usahawan tempatan lain sebagai usaha membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dalam ucapannya, Khairul Aming turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan jasa semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan negara serta menggesa anak muda berani memasang impian besar walaupun berdepan kegagalan.

“Walau setinggi mana kita mendaki dalam hidup ini, jangan kita lupa jasa orang yang menyumbang untuk negara kita. Kepada adik-adik dan anak-anak muda, teruskan belajar, letak impian yang besar dan jangan takut gagal kerana daripada situ kita akan menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang terus menyokong produk keluarannya sehingga membolehkan Sambal Nyet mencipta satu lagi detik bersejarah.

“Terima kasih kepada anda semua yang memberi kepercayaan kepada produk-produk tempatan kita,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-