SUBANG JAYA – Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan motosikal lain yang berlaku di Subang Kelana Jaya Link, selepas video kejadian tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, insiden tersebut dipercayai berlaku pada 10 Julai sekitar jam 6.50 petang dan dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum dimuat naik ke laman Facebook.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal BMW berlogo polis yang ditunggang anggota PDRM berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke lorong kiri dan bergesel dengan sebuah motosikal Honda ADV yang berada di lorong tengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Akibat pergeseran tersebut, penunggang motosikal Honda ADV, seorang lelaki berusia 20 tahun, terjatuh ke kiri jalan.
Mengulas lanjut, Wan Azlan turut menjelaskan bahawa walaupun tular dakwaan mengatakan motosikal PDRM tersebut tidak berhenti di lokasi kejadian, semakan ke atas rakaman penuh mendapati anggota polis berkenaan sebenarnya berhenti kira-kira 30 meter dari lokasi untuk mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Anggota tersebut, yang sedang menjalankan tugas rasmi, bersama orang awam telah membantu mangsa dan membawanya ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis kini sedang berusaha mendapatkan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621.
Terdahulu, video berdurasi 17 saat yang memaparkan detik kemalangan itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

