KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa diterima konsert kumpulan rock popular, My Chemical Romance (MCR) apabila sebanyak 60,000 tiket habis terjual dalam tempoh hanya 90 minit selepas dibuka pagi ini.
Penganjur konsert, Hello Universe, menerusi hantaran di Instagram mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang berusaha membeli tiket sejak jam 11 pagi.
“Terima kasih Malaysia. Sebanyak 60,000 tiket My Chemical Romance South East Asia Tour 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 April 2026 secara rasminya habis terjual!” menurut kenyataan itu.
Namun begitu, ruangan komen media sosial dibanjiri luahan kecewa para peminat yang gagal mendapatkan tiket, malah ada yang memohon agar pihak penganjur menambah kapasiti zon berdiri (standing zone) dan mempertimbangkan hari kedua konsert.
“Tolonglah buka semula ‘standing zone’,” tulis seorang pengguna.
“Tambah hari kedua, kami masih nak tengok,” rayu seorang lagi peminat.
Tiket konsert yang dinanti-nantikan itu dijual bermula pada harga RM299 hingga RM1,099, dan menjadi rebutan sejak pengumuman rasmi dibuat oleh Hello Universe selepas beberapa siri ‘teaser’ di media sosial.
Malaysia merupakan antara lokasi utama yang tersenarai dalam siri jelajah Asia Tenggara MCR yang turut melibatkan Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Jakarta.
MCR yang dianggotai oleh Gerard Way, Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way terkenal dengan lagu-lagu ikonik seperti Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay, yang kekal menjadi siulan peminat sejak dua dekad lalu.

