Fizz Fairuz umum tinggalkan Suria FM, tamatkan tugas \’dj\’ mahu fokus jaga anak

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Fizz Fairuz mengejutkan para pendengar setia Suria FM apabila mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio bagi segmen Morning Morning Suria selepas setahun enam bulan bersiaran.

Pengumuman mengejut itu dibuat secara langsung pagi tadi, dengan Fizz, 45, meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas peluang yang diberikan kepadanya untuk merealisasikan impian menjadi penyampai radio.

“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM. Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, dan maafkan saya jika ada salah dan silap sepanjang saya di sini. Saya mungkin seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan, jadi mungkin susah untuk sesetengah orang ikut rentak saya,” katanya dalam nada sebak ketika bersiaran.

Fizz turut mengakui bahawa menjadi penyampai radio adalah salah satu impiannya sejak dahulu lagi.

“Saya sudah jadi pelakon, pengarah dan sekarang penyampai radio. Saya memang minat kerja radio, termasuk buat drama radio. Akhirnya impian itu tercapai,” jelasnya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada rakan gandingannya, Ajak Shiro dan Kai Hassan agar meneruskan rutin pagi yang sinonim dengannya — mengingatkan pendengar untuk menunaikan solat Subuh.

“Segmen saya jam 6 pagi tu, jangan lupa ingatkan pendengar untuk solat Subuh. Sejadah saya tu saya tinggalkan di sini, gunalah,” pesannya.

Menurut Fizz, keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama Suria FM dibuat bagi memberi lebih tumpuan kepada keluarga dan anak-anak yang masih kecil. Katanya, dia juga kasihan melihat isterinya, pelakon Almy Nadia yang terpaksa menguruskan anak-anak seorang diri setiap pagi.

“Saya rasa cukup setakat ini. Anak masih kecil dan isteri saya terlalu sibuk. Jadi saya mahu sama-sama berkorban dan insya-Allah rezeki ada di mana-mana. Saya akan kembali ke dunia lakonan, drama dan filem selepas ini,” katanya lagi.

Fizz menyertai Suria FM sebagai penyampai pada 21 Januari 2024 dengan kontrak asal selama setahun, namun meneruskan khidmatnya selama enam bulan tambahan sebelum memilih untuk menamatkannya.

BACA JUGA:  'Jangan ngidam bau simen lagi', Harris Annuar bakal timang anak kedua

Sementara itu, menerusi satu perkongsian di InstaStory, Almy Nadia mendoakan yang terbaik buat suaminya.

“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik, ditemukan dengan orang yang baik, dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah. Love you sayang, i always love you. Mama sentiasa ada dengan sayang,” tulisnya.

Dalam satu lagi perkongsian, Almy turut bersorak kecil menyambut kepulangan Fizz ke rumah pada hari terakhir sebagai penyampai radio.

“Yeay, dia sudah pulang. Kereta yang dipandunya itu akan jadi milik saya, hantar anak-anak ke sekolah,” katanya sambil merakam kelibat Fizz yang sedang berjalan ke arahnya.

Pengunduran Fizz Fairuz meninggalkan kesan mendalam buat peminat yang sudah terbiasa dengan celotehnya di pagi hari, namun ramai yang mendoakan kejayaan beliau dalam fasa kerjaya seterusnya.

Aqilah Khaider
Aqilah Khaider
aqilahkhaider@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...