SETIU – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori muatan roti dalam satu kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Putera Jaya, pagi tadi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.35 pagi itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa berusia antara 11 hingga 45 tahun mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris ketika mengesahkan kejadian memaklumkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang berhampiran.
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa dari arah Kuala Terengganu sedang berhenti di lorong kiri untuk memasuki simpang ke Putera Jaya. Secara tiba-tiba, sebuah lori yang datang dari arah sama dikatakan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta lain yang keluar simpang, lalu merempuh kenderaan mangsa dan memasuki laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat rempuhan tersebut, sebuah lagi kereta jenis Perodua Bezza yang berada di belakang Perodua Viva turut melanggar bahagian belakang kenderaan itu, manakala sebuah Proton Persona terbabas ketika cuba mengelak daripada terlibat dalam pelanggaran.
Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

