Sabtu | 15 November 2025
spot_img

2 minit 32 saat, Aliff Syukri pecah rekod terpantas catat jualan RM1 juta di TikTok

KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti terkenal, Dato’ Sri Aliff Syukri sekali lagi mencetus fenomena apabila mencipta sejarah baharu dengan merampas takhta jualan tertinggi terpantas menerusi sesi penstriman langsung di TikTok Shop, malam tadi.

Dalam tempoh hanya 2 minit 32 saat, beliau berjaya mengutip jualan sebanyak RM1 juta, menjadikannya sebagai pemegang rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori The Fastest RM1 Million Handbag Sales Value In A Livestream Sale 2025.

Pencapaian membanggakan itu disahkan oleh Pegawai The Malaysia Book of Records, Puan Siti Nurhanim Mohd Noh yang turut menyerahkan sijil rasmi kepada Dato’ Sri Aliff sejurus tamat sesi jualan langsung tersebut yang berlangsung pada malam 3 Ogos 2025.

Rekod baharu itu sekaligus memadamkan pencapaian terdahulu yang dipegang oleh usahawan popular Khairul Aming, yang mencatatkan jualan RM1 juta dalam tempoh 3 minit 28 saat menerusi produknya, Sambal Nyet.

Dalam usaha mencabar dirinya dan membuktikan jenama tempatan setanding produk antarabangsa, Aliff mempertaruhkan koleksi Bag Samma Denim Edition serendah RM75 seunit yang merupakan keluaran jenama miliknya, Anthon’s Leather dan AS Bag.

“Ini bukan sekadar jualan, tetapi bukti bahawa beg berkualiti tinggi dengan harga mampu milik mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” ujar Aliff yang turut ditemani isteri tercinta, Datin Sri Shahida sepanjang sesi jualan berlangsung.

Sebagai tanda penghargaan kepada para pembeli, sesi jualan itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta, motosikal, pakej Umrah, percutian ke Sugeh Resort, barangan kemas dan perkakasan elektrik, yang bakal dimenangi oleh 1,000 pembeli bertuah.

Pencapaian ini bukan sahaja menandakan detik penting buat industri e-dagang negara, malah mengangkat martabat usahawan tempatan dalam memanfaatkan platform digital secara optimum.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan