LOS ANGELES – Penyanyi terkenal dunia, Taylor Swift dan bintang National Football League (NFL), Travis Kelce mengumumkan bahawa mereka kini sudah bertunang selepas memuat naik hantaran bersama di Instagram pada Selasa.
Dalam hantaran tersebut, pasangan itu menulis kapsyen berbunyi, “Your English teacher and your gym teacher are getting married,” sambil berkongsi beberapa foto romantis ketika Kelce melamar Swift di sebuah taman yang dihiasi bunga merah jambu dan putih.
Antara gambar yang menarik perhatian ialah detik Kelce melutut sambil menghulurkan cincin pertunangan, serta foto jarinya yang dihiasi cincin besar.
Lagu Swift berjudul So High School turut dimainkan sebagai latar muzik dalam video tersebut.
Pertunangan itu mendapat sambutan hangat di media sosial dengan lebih 17 juta tanda suka menjelang petang Selasa.
Pihak NFL turut menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, tarikh perkahwinan mereka masih belum diumumkan.
Swift, 35, merupakan pemenang 14 trofi Grammy termasuk empat kali Album Terbaik, manakala Kelce, juga 35, adalah pemain posisi tight end yang membantu Kansas City Chiefs menjuarai tiga Super Bowl bersama rakan sepasukannya, Patrick Mahomes.
Pasangan ini mula berkenalan pada 2023 selepas Swift membuat persembahan di Stadium Arrowhead.
Swift kemudian mengakui tertarik dengan cara Kelce menyatakan minat secara terbuka, yang disifatkannya seperti adegan filem romantik tahun 80-an.
Hubungan mereka menjadi perhatian umum apabila Swift hadir memberi sokongan di perlawanan Chiefs pada September 2023.
Sejak itu, pasangan ini sering dilihat bersama di acara besar termasuk dua perlawanan Super Bowl serta siri jelajah Eras Tour yang mencatat kutipan lebih AS$2 bilion.




