BANGKOK – Skuad bawah 23 (B-23) negara tidak boleh mengibarkan bendera putih dalam misi memburu slot automatik ke Piala Asia B-23 2026 apabila turun menentang Mongolia pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Thammasat, Bangkok, hari ini.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengakui laluan anak buahnya semakin mencabar selepas tewas mengejut 0-1 kepada Lebanon pada aksi pembukaan, Rabu lalu, namun menegaskan peluang masih terbuka sekiranya Malaysia berjaya meraih kemenangan.
“Kita kena melupakan kekalahan dan fokus untuk aksi seterusnya, mencari kemenangan dengan bertemu Mongolia.
“Saya akui laluan agak sukar, tetapi peluang masih ada kerana selain juara kumpulan, empat pasukan terbaik naib juara turut layak. Justeru, saya harap kita dapat kekalkan corak permainan tetapi dalam masa sama perbaiki kelemahan,” katanya.
Malaysia wajib memanfaatkan peluang keemasan apabila Mongolia tewas 0-6 kepada tuan rumah, Thailand, dalam aksi pertama mereka. Kemenangan besar ke atas Mongolia dijangka menjadi bekalan penting menjelang perlawanan penentuan menentang skuad remaja Gajah Perang pada Selasa depan.
Kini, segala tumpuan terarah kepada kesungguhan skuad muda negara untuk bangkit dan menyalakan kembali peluang ke pentas Asia.

