SEMENYIH – Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai bertindak nekad berlari di atas bumbung sebuah rumah jiran sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian di Taman Sri Tanjung, malam tadi.
Menurut perkongsian pengguna TikTok, Pali Nul, kejadian bermula sekitar jam 8.30 malam apabila beliau terdengar jeritan meminta tolong dari atas bumbung rumah.
“Katanya ada orang nak bunuh dia dan suruh panggil polis. Saya terus hubungi pihak polis, tapi selepas hampir dua jam dipujuk, lelaki itu tetap enggan turun malah mengugut untuk menikam dirinya jika polis mendekat,” katanya.
Difahamkan, lelaki tidak berbaju itu turut dilihat memegang sebilah pisau ketika berada di atas bumbung berkenaan.
Situasi tegang tersebut berlarutan lebih lima jam sebelum berjaya dikawal dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta orang awam. Bagaimanapun, beberapa anggota dilaporkan cedera selepas terjatuh ketika operasi menyelamat dijalankan.
Selain bumbung rumah yang ‘bocor’, kereta serta kediaman jiran-jiran turut mengalami kerosakan akibat insiden berkenaan.
“Syukur semuanya selamat. Terima kasih PDRM, bomba, KKM dan semua yang membantu,” kata Pali lagi.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan pelbagai reaksi, termasuk ada yang bersimpati terhadap pemilik rumah yang menanggung kerugian.
“Gila betul orang itu. Semoga dipermudahkan urusan tuan rumah dan jiran,” tulis seorang pengguna, Atieqa.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Jia, berpendapat lelaki berkenaan bukan berada dalam keadaan mabuk sebaliknya hanya mencari perhatian.

