KAJANG – Dua kanak-kanak lelaki dipercayai berusia belasan tahun dikesan aktif mencuri bungkusan (parcel) milik penduduk di sebuah taman perumahan di sini, selepas perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.
Dalam rakaman berdurasi beberapa minit itu, kelihatan kedua-dua suspek menunggang sebuah motosikal sebelum berhenti di hadapan rumah penduduk lalu mengambil parcel yang diletakkan di luar.
Terdahulu, hantaran di Facebook (FB) oleh penduduk taman berkenaan mendedahkan kehilangan barangan yang kerap berlaku sejak beberapa minggu lalu.
Selepas semakan dibuat menerusi CCTV, rupa-rupanya dua kanak-kanak terbabit menjadi dalang.
Seorang penduduk, Mohd Shazrin Mat Radzi, berkata beliau kehilangan dua bungkusan sebelum membuat laporan polis Isnin lalu.
“Saya periksa CCTV dan nampak dua budak itu ambil parcel. Perkara ini sudah lama berlaku, ramai penduduk lain pun alami kerugian,” katanya.
Penduduk lain, Siti Nur Audauwiyah, pula menyarankan agar penghantar barang mencampakkan parcel terus ke dalam kawasan rumah, selain mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka dengan pergerakan anak masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Roza Ariffin, mendakwa barangan makanan tambahan yang dipesannya hilang, sebelum ditemui dibuang di tepi jalan.
“Barang itu sangat mahal. Saya terkejut apabila jumpa bungkusan dibuang begitu saja,” ujarnya.
Difahamkan, insiden berulang itu kini dimaklumkan kepada pihak pengawal keselamatan taman untuk tindakan lanjut, termasuk cadangan memperketatkan kawalan keluar masuk.
Polis dijangka menyiasat kes tersebut bagi mengelak kejadian sama terus berulang.

