NIBONG TEBAL – Suasana penuh hiba menyelubungi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim, Ahmad Khairuddin, apabila dia menerima khabar sedih mengenai pemergian bapanya, Ustaz Md. Nor Jusoh, sejurus menamatkan satu kertas peperiksaan semalam.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi sekolah tersebut, kelihatan Ahmad Khairuddin keluar dari dewan peperiksaan dengan wajah sugul dan segera ditenangkan oleh ahli keluarganya yang menantinya di luar.
@tvpsssmkasaf Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan… namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu. Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Salam takziah kepada Ahmad Khairuddin (calon SPM) atas kehilangan ayah tercinta, Ustaz Md Nor bin Jusoh. Semoga al-Marhum ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Amin 🤲
♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama
Remaja itu kemudian terus ke sebuah masjid di Kepala Batas, Pulau Pinang untuk menunaikan solat jenazah bapanya sebelum menaiki van jenazah bagi menghadiri majlis pengebumian. Dalam video itu, Ahmad Khairuddin turut dilihat membantu menurunkan jenazah bapanya ke liang lahad, menunjukkan ketabahan luar biasa meskipun diuji dengan kehilangan yang mendalam.
Di hujung rakaman, guru-guru lelaki sekolah berkenaan memeluk dan memberi kata-kata semangat kepadanya. Menurut pihak sekolah, selepas majlis pengebumian, Ahmad Khairuddin kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan kertas peperiksaan seterusnya.
“Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan, namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu. Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Jiwa yang begitu kental. Seusai pengebumian ayahnya, dia kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan perjuangan, Allah,” menurut perkongsian pihak sekolah.
Hantaran itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut mendoakan agar Ahmad Khairuddin diberikan ketabahan menghadapi ujian ini.
“Dia kebumi arwah ayah dia dengan baju sekolah lagi. Ya Allah, gantikan berita sedih hari ini dengan kejayaan cemerlang di masa depannya.”
Seorang lagi pengguna menyifatkan tindakan pelajar itu sebagai seorang pejuang sebenar.
“Baru hari pertama SPM, bawa masuk ayah dalam liang lahad pakai uniform sekolah. Ini pejuang sebenar, semoga terus kuat,” katanya.
Pengguna lain turut menzahirkan doa mereka.
“Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Md. Nor Jusoh. Semoga Allah menempatkan allahyarham dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh serta para syuhada. Ya Allah, kau berikanlah kemudahan dan kecemerlangan untuk Ahmad Khairuddin dalam peperiksaan SPM.”

