KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) akhirnya meraih kemenangan pertama di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Tengku Hazman Raja Hassan selepas menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) 1-0 di Stadium MP Selayang, malam tadi.
Pada perlawanan itu, status Sang Penyu selaku pasukan pelawat tidak menghalang mereka untuk mendominasi sebahagian besar saingan, selain kerap menguji benteng pertahanan The Cops.
TFC bermula agresif dan mencipta beberapa peluang keemasan, namun penyudah Akhyar Rashid serta Muhammad Syahmi Zamri pada babak kedua gagal menepati sasaran.
Penantian skuad Pantai Timur itu akhirnya berbaloi apabila Mohamad Baqiuddin Shamsudin muncul wira pasukan dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-85 selepas menerima hantaran kemas daripada Haqimi Azim Rosli.
Keputusan itu menyaksikan TFC kembali ke landasan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini masing-masing kepada Sabah FC dan Penang FC.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Negeri, Batu Kawan, Imigresen FC melakar kemenangan bergaya apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) 3-0 pada aksi petang tadi.
Gol-gol skuad tuan rumah dijaringkan oleh Wilmar Jordan Gil, Eduardo Sosa serta jaringan sendiri oleh pertahanan Kelantan TRW, M. Rakesh.
Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan Imigresen FC dalam carta liga sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

