KUALA LUMPUR – AirAsia akan menambah penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina serta Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bagi tempoh Tahun Baharu Cina, syarikat penerbangan itu akan mengendalikan sebanyak 23 penerbangan tambahan bermula 13 hingga 24 Februari, manakala 25 penerbangan tambahan akan disediakan dari 18 hingga 26 Mac sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, penambahan penerbangan itu penting bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, khususnya rakyat Sarawak yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia.
“Penerbangan tambahan ini akan membantu memastikan rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung mempunyai akses penerbangan yang lebih baik dan dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan bersama insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kim Shin turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh berkenaan, AirAsia menawarkan tambang promosi sehala bermula RM328 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.
Beliau berkata, tawaran tambang rendah itu dijangka dapat membantu mengurangkan beban kewangan penumpang, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan kos perjalanan.
Selain itu, beliau menambah bahawa program subsidi tiket penerbangan yang diperkenalkan sebelum ini terus dilaksanakan bagi membantu pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia, selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan golongan berkenaan.

