KUALA LUMPUR – Bekas isteri penyanyi Nubhan Ahamad, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, menegaskan dia tidak mengejar bentuk badan kurus semata-mata, sebaliknya mahu tampil lebih sihat dan yakin dengan diri sendiri.
Menurut doktor gigi berusia 36 tahun itu, terdapat individu yang menegur kononnya dia kelihatan semakin kurus kebelakangan ini, namun dia berpendapat perubahan tersebut mungkin dipengaruhi sudut pengambilan gambar.
“Adalah seseorang kata Fie kurus. Kadang-kadang mungkin salah ‘angle’ ambil gambar nampak Fie berisi. Tapi musykil juga, saja nak ambil hati atau memang kurus bulan puasa ini.
“Apa pun Fie tak kejar kurus semata-mata. Fie nak rasa sihat, bertenaga dan lebih yakin dengan diri sendiri. Slow progress but consistent,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi bahawa individu sama turut menasihatinya supaya mengurangkan pengambilan gula serta mengamalkan pemakanan lebih sihat termasuk ketika memasak di rumah.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memberikan kata semangat serta mendoakan kesejahteraan Dr Fie bersama anak-anaknya selain memuji perubahan positif yang ditunjukkan.
Terdahulu, pada 2 Disember 2025, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Dr Fie dan Nubhan sah bercerai talak dua selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak.
Selepas perceraian, Dr Fie dilaporkan menerima beberapa tawaran sebagai duta produk selain berjaya memiliki aset sendiri termasuk sebuah kenderaan elektrik serta berpindah ke kediaman baharu.

