SHAH ALAM – Prosiding lafaz cerai melibatkan pelakon dan usahawan, Syida Melvin, ditangguhkan ke 12 Ogos selepas Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dimaklumkan bahawa plaintif berada dalam keadaan tidak suci, sekali gus menyebabkan lafaz cerai tidak dapat diteruskan pada Khamis.
Bagaimanapun, peguam mewakili Syida, Nurul Jamaliah, berkata perkembangan positif dicapai apabila pihak defendan, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, telah menyatakan persetujuan untuk melafazkan cerai.
“Alhamdulillah hari ini kita sudah selesaikan laporan JKP, tetapi pihak defendan telah mengutarakan pendirian bahawa dia bersetuju untuk melafazkan cerai. Namun, kes ini terpaksa ditangguhkan pada 12 Ogos kerana Syida dalam keadaan tidak suci (haid). Alhamdulillah kes ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya.
Dalam pada itu, Syida mengakui dia tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina selama hampir tujuh tahun akan berakhir dengan perpisahan, namun menerima segala yang berlaku sebagai ketentuan Allah SWT.
“Saya pun tak sangka perkara ini akan berlaku tetapi semuanya sudah tertulis. Bagi saya, rumah tangga kami sudah tidak boleh diselesaikan. Lama juga saya simpan rahsia ini, tapi lama-kelamaan saya tidak mampu untuk terus berahsia,” katanya.
Menurut Syida lagi, perkongsian yang pernah dimuat naik di media sosial sebelum ini dibuat dalam keadaan emosinya terganggu selepas melalui pelbagai dugaan bersama anak-anak.
“Mungkin isu yang viral tempoh hari adalah kerana emosi sebab mengenangkan apa yang berlaku pada saya dan anak-anak,” ujarnya.
Pada Disember tahun lalu, Syida dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Perkara itu disahkan oleh peguamnya yang memaklumkan prosiding berkaitan rumah tangga pasangan tersebut sedang berjalan mengikut proses mahkamah.
Untuk rekod, Syida atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. Syafiq Azim juga merupakan anak kepada Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid yang dikenali sebagai “Iron Lady Malaysia”.

