Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
MuzikMarsha Milan hilang suara akibat wabak menjelang AJL40

Marsha Milan hilang suara akibat wabak menjelang AJL40

KUALA LUMPUR – Kurang dua minggu menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi Marsha Milan berdepan dugaan apabila kehilangan suara, manakala hampir keseluruhan pasukan produksinya turut jatuh sakit sehingga menjejaskan persiapan persembahan.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh berkata, latihan mereka tergendala hampir dua minggu kerana beberapa anggota pasukan masih belum pulih sepenuhnya, malah seorang daripada mereka sedang dirawat di hospital.

“Saya sebenarnya agak ralat sebab hampir semua team saya dalam AJL kecundanglah, kiranya sakit. Ada seorang di hospital, seorang masih dalam proses penyembuhan dan semua mengalami perkara yang sama.

“Jadi insya-Allah dengan doa semua, mereka akan cepat sembuh juga sebab persiapan itu terbantut lebih kurang dua minggu. Harap-harap sempatlah untuk mereka cergas semula bagi meneruskan persiapan,” katanya.

Penyanyi berusia 40 tahun itu berkata, dia mula mengalami masalah kesihatan sejak 15 Julai lalu sehingga kehilangan suara, selain mengalami demam, selesema, batuk, migrain, muntah dan cirit-birit.

Mengulas dakwaan gangguan mistik, Marsha menafikannya dan percaya keadaan itu berpunca daripada penularan wabak penyakit.

“Saya tak terfikir pun ke arah itulah. Tapi apa yang saya tahu, saya tak percaya dengan benda-benda macam ini. Tapi apa yang pasti, memang sekarang wabak tengah tular. Influenza, virus dan sebagainya. Saya pasti itu adalah puncanya,” katanya.

Marsha berkata, ujian itu mengajarnya untuk lebih reda dan bertawakal walaupun sudah mendapatkan rawatan daripada tiga pakar.

“Buat masa sekarang ini, saya fokus kepada penyembuhan,” katanya.

AJL40 dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos ini, menyaksikan Marsha bakal bersaing bersama barisan finalis lain selepas memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan kesihatannya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-